Pelawak kesal dakwaan kononnya Jozan tidak lagi sehaluan gara-gara undur diri daripada sebuah produksi
Gara-gara tidak lagi kerap digandingkan bersama, timbul khabar angin mengatakan pasangan lawak, Johan dan Zizan Razak kini tak sehaluan. Apatah lagi apabila seorang penerbit dikatakan mendakwa, tiada lagi persefahaman antara kedua-duanya, apabila mereka tidak muncul dalam persembahan terbitannya.
Tersentak dengan dakwaan berkenaan, penyampai radio Era itu pantas menepis tanggapan terbabit. Bahkan tegasnya, dia dan rakannya itu tetap bersahabat baik. Malah kata Johan, jika benar hubungan mereka renggang seperti didakwa oleh penerbit berkenaan, ia tentu saja berpunca daripada produser itu sendiri.
Ujar lelaki yang mula dikenali menerusi program Raja Lawak ini, jika diikutkan, mereka tidak mempunyai sebarang masalah dengan penerbit itu. Namun, disebabkan keengganan mereka untuk terbabit dalam produksinya, kedua-duanya dituduh tidak lagi sehaluan.
"Tak baik, malah tidak patut dia berkata begitu kerana kami tidak mempunyai sebarang masalah dengannya.
"Punca kami menolak pelawaannya adalah atas alasan kesibukan masing-masing. Tidak timbul isu kami bergaduh atau tidak sehaluan. Mungkin kerana kami sering berselisih pendapat, lalu dia membuat andaian sendiri. Begitupun, sebelum persembahan kami saling bermaafan dan ia tidak sekali menjejaskan hubungan baik antara saya dan dirinya," katanya ketika ditemui pada majlis pratonton drama Elly & Epit musim kedua di ibu kota, baru-baru ini.
Saling memerlukan
Menganggap rezeki dan populariti Jozan atas usaha bersama, Johan tidak pernah sesekali mengetepikan Zizan, apatah lagi melupakan saat jatuh dan bangun Jozan.
Tidak berasa tergugat dengan dakwaan dilemparkan, Johan mendedahkan, mereka pernah mengalami cabaran sedemikian sejak dulu lagi.
"Sebagai kawan, kami saling memerlukan. Kami dikenali pun hasil usaha bersama. Jozanlah yang memberikan laluan untuk kami mencari rezeki,” kata Johan yang bagaimanapun menegaskan tidak akan melatah dengan isu terbabit, mengenangkan produser berkenaan orang lama dalam industri.
Namun, dia tetap berasakan tindakan penerbit itu memburuk-burukkan orang lain sebagai kesalahan besar.
Mengambil iktibar atas apa yang berlaku, dia berkata, semua orang berhak untuk bercakap, tetapi janganlah sampai melampaui batas.
Posting Komentar